Serambi UHAA

Serambi UHAA Himpunan Ceramah dan Kuliah Ustaz Hishamuddin Abdul Aziz Untuk Bekalan Akhirat kelak

Jika ada perta

22/03/2026

JANGAN JADI SEBAB ORANG TAK MAHU BALIK KAMPUNG !!!

Biasanya, pada hari raya, ramai dari kalangan kita, pulang ke kampung halaman. Namun, dalam kegembiraan berhari raya dan pulang ke kampung; kita mungkin tidak sedar bahawa ada hati yang resah dan jiwa yang gelisah. Tidak seperti ramai orang lain, si pemilik hati itu sebenarnya, tidak mahu balik ke kampung.

Ramai yang bila hampir raya, sibuk nak beli baju, kemas rumah, sediakan kuih-muih dan sebagainya. Namun, ada yang sibuk berfikir: “Nak balik kampung ke tak?”

Bukan dia tak sayang keluarga dan sanak saudara atau tak rindu suasana kampung, tetapi dia takut. Takut dengan satu perkara, takut dengan soalan-soalan yang akan ditanyakan oleh kaki-kaki penyibuk urusan peribadi orang lain.

Di sana, ada satu kisah. Seorang pemuda, setiap kali raya, dia akan duduk di hujung ruang tamu sendirian. Senyap. Banyak diam.

Selalunya, ada sahaja yang datang dan bertanya: “Eh… bila nak kahwin?”

Dia senyum dan menjawab perlahan: “Doakanlah…”

Setahun berlalu. Raya berikutnya, soalan yang sama: “Masih belum kahwin lagi?”

Senyum lagi, sambil memberikan jawapan yang sama.

Masuk tahun ketiga, dia mula tidak balik raya. Bila ibunya tanya: “Kenapa tak balik?”
Dia jawab perlahan: “Penatlah mak. Balik bukan tenang. Balik, rasa macam kena soal siasat…”

Kita harus menyedari bahawa kadang-kadang, kita ingat kita bertanya, tetapi rupa-rupanya, kita sedang melukakan!

Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.”

Hadis ini bukan sekadar teori, tetapi prinsip dalam kehidupan. Dalam suasana hari raya, kadang-kadang kita rasa bebas bercakap kerana suasananya santai dan kekeluargaan. Namun, Islam tidak pernah benarkan kita
menyakiti walaupun dengan kata-kata.

Firman Allah;
وَقُل لِّعِبَادِی یَقُولُوا۟ ٱلَّتِی هِیَ أَحۡسَنُ...
“Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku supaya mereka berkata dengan perkataan yang lebih baik…”
(Surah al-Isra’: 53)

Perhatikan, ayat diatas bukan sekadar memerintahkan; “berkatalah”, tetapi memerintahkan; "berkata-katalah dengan kata-kata yang terbaik."

Islam mengajar, bukan sahaja sekadar 'tidak berkata kasar', tetapi memilih kata-kata yang paling lembut.

Soalan; “bila nak kahwin” itu, bagi kita ringan, tetapi bagi orang-orang tertentu, mungkin terasa amat berat.

Dia sudah berusaha, tetapi belum bertemu jodoh. Dia pernah kecewa dan masih belum sembuh. Dia sedang berjuang dengan masalah kewangan. Dia sedang menjaga ibu bapa dan mengorbankan keinginan sendiri. Tiba-tiba kita datang dengan satu soalan yang melukakan atau membuka semula luka lama.

Apa yang lebih menyukarkan, bukan seorang dua yang bertanya, tetapi pakcik, makcik, sepupu jiran dan mungkin seluruh sanak saudara.

Soalan yang sama. Berulang-ulang. Sehinggakan hari raya yang sepatutnya bahagia bertukar menjadi hari tekanan jiwa.

Kalau kita nak menyibuk sangat pun, maka saya mencadangkan agar kita ubah suasana yang menjengkelkan ini. Daripada menjadi tukang tanya, tukar menjadi tukang mendoakan. Daripada berkata-kata dengan soalan-soalan yang menyakitkan, tukarkan menjadi kata-kata doa dan ibadah.

Dari soalan: “Bila nak kahwin?” Tukar jadi: “Kami doakan Allah permudahkan jodoh kamu.”

Dari soalan “Kenapa belum ada anak?” Tukarkan jadi: “Moga Allah kurniakan zuriat yang soleh.”

Dari soalan: “Kerja apa sekarang?” Tukarkan jadi: “Moga Allah luaskan rezeki kamu.”

Soalan-soalan seperti yang disebutkan di atas, kadang-kadang ia menikam, tetapi doa tidak melukakan. Malah, ia mampu menyembuhkan.

Hari raya adalah hari menyambung hubungan, melembutkan hati dan memaafkan kesalahan; bukan hari mengungkit kekurangan, membandingkan kehidupan atau kekayaan dan hari menyibuk urusan orang lain.

Oleh kerana itu jangan jadi sebab orang tidak mahu pulang. Jangan kerana lidah kita, rumah atau kampung halaman yang sepatutnya menjadi syurga, tetapi menjadi tempat yang menyesakkan.

Sebaliknya, kita jadilah sebab untuk orang merasa tenang, dihargai dan dirindui. Apa yang orang akan ingat bukanlah juadah kita atau pakaian kita, tetapi bagaimana cara kita menjaga hati mereka.

"Lembutkan hati kami ya Allah. Jadikan lidah kami menyenangkan, bukan menyakitkan. Ya Allah, satukan hati-hati kami dalam kasih sayang. Jauhkan kami daripada menjadi punca luka, dalam keluarga atas kelukaan yang tidak sepatutnya."

19/03/2026

RAMADHAN DAH NAK PERGI
[18/3/2026]

10/03/2026

Surah al-Baqarah
Muqaddimah
(Latar Belakang dan Kelebihan)
Episod 1

25/02/2026

PERKONGSIAN ADAB DALAM MENYANTUNI ASNAF & GOLONGAN MEMERLUKAN

Dalam Islam, memberi bukan sekadar tentang 'apa' yang diberi, tetapi 'bagaimana' ia diberikan.

​​Sedekah dalam Islam bukan sekadar transaksi material, ia adalah jambatan kasih sayang. Apabila sumbangan diberikan tanpa rasa belas kasihan (ihsan), ia kehilangan nilai spiritualnya.

Firman Allah subhanahu wa ta'ala:-

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تُبۡطِلُوا۟ صَدَقَـٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِی یُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَاۤءَ ٱلنَّاسِ...
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak)...

Di dalam Al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 264 di atas, mengingatkan supaya tidak membatalkan pahala sedekah dengan al-mann (membangkit-bangkit) dan al-aza (menyakiti perasaan).

Tangan yang memberi sepatutnya memuliakan tangan yang menerima, bukan menjadikannya sebagai objek untuk menunjukkan kuasa atau status.

​Golongan yang memerlukan selalunya sudah pun berada dalam keadaan 'rendah diri' kerana kesempitan hidup.

Cara pemberian yang kasar atau tidak sensitif boleh menyebabkan mereka merasa terhina dan menjauhkan diri daripada institusi seperti masjid, surau dan seumpamanya.

​Layanan yang buruk seolah-olah menghukum mereka atas kemiskinan mereka, sedangkan dalam Islam, fakir miskin adalah tetamu Allah yang perlu disantuni.

​​Sering kali perkara ini berlaku bukan kerana niat jahat, tetapi kerana kurangnya latihan empati dalam kalangan petugas atau s**arelawan.

​Wujudnya jurang antara pihak penyampai yang merasa mereka adalah 'penyelamat' dan penerima sebagai 'beban'.

​Kadang-kala birokrasi yang terlalu ketat atau cara agihan yang terbuka tanpa privasi boleh menjatuhkan air muka penerima.

Menjaga hati seorang mukmin itu lebih besar nilainya di sisi Allah daripada sekadar memberi sekarung beras tetapi dengan cara yang menghiris perasaan.

Sesuatu yang nampak kecil bagi kita, mungkin adalah maruah yang besar bagi mereka.

Firman Allah subhanahu wa ta'ala lagi;

وَإِمَّا تُعۡرِضَنَّ عَنۡهُمُ ٱبۡتِغَاۤءَ رَحۡمَةࣲ مِّن رَّبِّكَ تَرۡجُوهَا فَقُل لَّهُمۡ قَوۡلࣰا مَّیۡسُورࣰا
Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati.

Ayat daripada surah Al-Isra', ayat 28 ini, sememangnya mempunyai hubungan yang sangat erat dan langsung dengan persoalan yang dikemukakan tadi.

Malah, ayat ini merupakan manual adab yang paling halus daripada Allah subhanahu wa ta'ala tentang bagaimana cara berinteraksi dengan golongan yang memerlukan, terutama apabila kita tidak mampu memenuhi permintaan mereka pada waktu tersebut.

Di sana, ada perintah berkata-kata dengan lemah-lembut (Qaulan Maysura). Iaitulah, 'kata-kata yang menyenangkan' (maysura bermaksud mudah, lembut, dan melapangkan dada).

Jika dalam keadaan kita tidak dapat memberi pun, kita diperintahkan untuk bercakap dengan sangat lembut agar tidak menghampakan mereka, apatah lagi dalam keadaan kita sedang memberi.

Pemberian yang disertai dengan wajah yang masam atau bahasa badan yang menghina adalah bertentangan sama sekali dengan semangat qaulan maysura.

Menurut para ulama tafsir, ayat ini turun ketika Nabi sallallahu alaihi wa sallam tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan kepada peminta, lalu Baginda merasa malu dan memalingkan muka.

Allah mengajar Nabi sallallahu alaihi wa sallam (dan kita) bahawa jika kita terpaksa "berpaling" (tidak memberi), janganlah berpaling dengan rasa benci atau sombong, tetapi berpalinglah dengan janji yang baik dan doa agar Allah melapangkan rezeki kita semua.

Ayat ini juga mengajar kita memuliakan, bukan merendahkan. Ayat ini juga mengajar bahawa maruah penerima adalah lebih utama daripada material.

Pihak yang menyampaikan sumbangan, seharusnya sedar bahawa jawatan sebagai 'pemberi' itu sendiri adalah satu amanah dan rahmat daripada Allah.

Menggunakan pendekatan yang menghina seolah-olah menganggap diri kita lebih mulia daripada mereka, sedangkan Allah memerintahkan agar kita melayan mereka dengan kata-kata yang memujuk hati.

Kesimpulannya, jika ada sumbangan untuk diberikan, berikanlah dengan penuh penghormatan. Jika tiada, (atau prosedur belum selesai), beritahu dengan bahasa yang paling mulia dan doa yang tulus.

Pihak yang memberi dengan rasa sombong atau merendahkan itu sebenarnya telah gagal mengamalkan akhlak yang digariskan dalam ayat 28 Surah Al-Isra' ini. Islam tidak mahu 'tangan yang memberi' itu menjadi 'tangan yang melukai'.

Firman Allah;
قَوۡلࣱ مَّعۡرُوفࣱ وَمَغۡفِرَةٌ خَیۡرࣱ مِّن صَدَقَةࣲ یَتۡبَعُهَاۤ أَذࣰىۗ
Kata-kata yang baik dan kemaafan adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan hati. (Al-Baqarah: 263)

22/02/2026

Rumah Allah bukan untuk orang yang sempurna, tetapi untuk orang yang ingin hatinya diperbaiki.

09/02/2026

Soalan:-

Ada seorang kawan saya apabila dinasihatkan agar dia menutup aurat, dia kata: "Allah tak tengok yang zahir, tetapi Allah tengok, apa yang ada dalam hati. Aku memang tidak peduli apa orang nak kata."

Jawapan:-

Hati dan perbuatan tidak boleh dipisahkan. Keikhlasan hati yang sebenar akan dizahirkan melalui ketaatan. Jika hati benar-benar bersih dan taat kepada Allah, maka anggota badan secara automatik akan mengikut perintah-Nya. Jika hati benar-benar menyintai Allah, sudah tentu ia akan berusaha mengikut perintah-Nya, termasuklah menutup aurat. Dalam Islam, kebaikan dalaman tidak bercanggah dengan tuntutan luaran. Islam tidak memisahkan hati dan perbuatan. Kedua-duanya mesti berjalan serentak.

Aurat Bukan Pilihan, tetapi kewajipan. Menutup aurat bukan sekadar adat atau fesyen, tetapi kewajipan (fardu) yang ditetapkan dalam Al-Quran (Surah An-Nur: 31 dan Al-Ahzab: 59). Hati yang baik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan hukum yang sudah ditetapkan. Keikhlasan hati sepatutnya dibuktikan dengan kepatuhan.

Teguran yang disampaikan oleh orang lain kepada kita adalah amanah. Sikap "tidak peduli kata orang" adalah baik jika kita dipihak yang benar, tetapi jika kita ditegur kerana melanggar hukum agama, ia sepatutnya diterima sebagai nasihat untuk memperbaiki diri, bukannya dianggap sebagai gangguan.

Ada perbezaan antara "tidak peduli kata orang" kerana mahu melakukan kebaikan (istiqamah), dengan "tidak peduli" kerana enggan menerima nasihat agama. Sifat menolak kebenaran dan memandang rendah kepada orang yang memberi nasihat adalah antara ciri kesombongan yang perlu dijauhi.

Apabila seseorang berkata "Allah hanya tengok hati" sebagai alasan untuk mengabaikan perintah-Nya, ia dibimbangi menjadi satu bentuk tipu daya nafsu atau talbisul iblis untuk menghalalkan apa yang jelas dilarang.

Allah memang melihat hati, tetapi Allah juga yang memerintahkan menutup aurat. Tidak mungkin Allah menyuruh sesuatu yang bercanggah dengan apa yang Dia lihat. Hati yang tunduk kepada Allah akan berusaha taat, walaupun belum sempurna.

Kesimpulannya: Islam itu merangkumi zahir dan batin. Penampilan luaran yang menutup aurat adalah lambang ketaatan, manakala hati yang bersih adalah penggerak kepada ketaatan tersebut.

07/02/2026

Di sebalik 'penangguhan' hukuman Tuhan atas dosa-dosa kita, ada kasih sayang yang menunggu kita untuk pulang. Jangan tersilap tafsir antara peluang dan keselamatan. Kita sering meremehkan dosa kecil, sedangkan setiap zarah dosa itu ada hitungannya. Pulanglah sebelum nyawa di kerongkongan, sujudlah sebelum bumi menghimpit badan. Biarlah amal yang tulus dan air mata penyesalan menjadi saksi, agar rahmat-Nya sentiasa memayungi kita melangkaui murkaNya.

07/02/2026

UMAT ISLAM WAJIB MENGENALI SIAPA MUSUH SEBENAR MEREKA

Mengenali musuh bukan untuk membenci secara melulu, tetapi untuk memahami cara fikir mereka, mengetahui strategi dan perancangan mereka dan mengenali titik kelemahan yang boleh dimanfaatkan.

Tanpa mengenali musuh, kita umat Islam, mudah diperdaya, lalai dan terperangkap dalam agenda musuh yang ingin merosakkan akidah dan agama Islam.

Umat Islam mesti sentiasa berjaga-jaga, tidak mudah terpesona dengan propaganda musuh dan menilai sesuatu dengan neraca iman dan ilmu.

29/01/2026

Bila kita merancang berdasarkan Quran dan Hadis; maka kita sebenarnya merancang untuk berada di dalam perancangan Allah. Dan;
والله خير الماكرين...

23/01/2026

HUKUM WANITA MENGIRINGI JENAZAH KE KUBUR

Terdapat perbezaan pendapat ulama mengenai perkara ini:

Mazhab Syafie & Jumhur:

Hukumnya adalah Makruh Tanzih (makruh yang tidak berdosa tetapi sebaiknya ditinggalkan).

Mazhab Malik:

Tidak makruh kecuali bagi wanita muda, atau dibolehkan jika jenazah itu adalah anak, ibu bapa, atau suami.

Pendapat Lain:

Ada yang mengharamkan (Makruh Tahrim) berdasarkan hadis Ibnu Majah, namun Imam Nawawi menilai hadis tersebut sebagai daif (lemah).

SARANAN DAN ADAB

Berdasarkan Syariat
Solat Jenazah; wanita disarankan untuk bersolat di rumah sahaja tanpa perlu mengikuti jenazah ke tanah perkuburan.

Tempoh Iddah:

Wanita yang kematian suami perlu menghormati hukum Ihdad (berkabung) dan tidak keluar rumah sepanjang tempoh iddah.

Ziarah Kubur:

Ziarah kubur bagi wanita hanya dibolehkan selepas tamat tempoh iddah dengan syarat menjaga akhlak dan adab semasa di sana.

Kesimpulan:

Wanita dinasihatkan untuk bertenang dan mengikut syariat dalam menguruskan emosi serta tidak mengikuti jenazah ke kubur demi menjaga kemaslahatan dan tuntutan agama.

[Ringkasan dari: Al-Kafi Li Al-Fatawi]

15/01/2026

BELUM BERSEDIA BERHIJAB, TAKUT HATI TAK TENANG !

Ada seorang artis wanita berkata: “Saya belum bersedia berhijab kerana takut hati tak tenang”. Perasaan tidak tenang itu mungkin benar, tetapi puncanya perlu difahami.

Tidak tenang bukan kerana hijab, tetapi biasanya kerana:
Takut tidak istiqamah, takut diuji, dikritik, atau dipandang hipokrit. Juga mungkin berpunca kerana masih kuat pergantungan pada penilaian manusia. Bukan penilaian Allah.

Hijab itu ibadah, dan setiap ibadah memang menguji jiwa sebelum menenangkan jiwa.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” (Surah ar-Ra‘d: 28)

Mengapa mengingati Allah membawa ketenangan?

1. Mengembalikan Fokus kepada Pencipta.

Apabila kita mengingati Allah, kita sedar bahawa segala masalah, rezeki, dan masa depan berada di bawah kuasa-Nya. Perasaan ini menghilangkan rasa beban (anxiety) kerana kita menyerahkan urusan kepada Yang Maha Berkuasa (Tawakal).

2. Penawar Penyakit Hati.

Hati manusia sering gelisah kerana sifat duniawi seperti rasa takut hilang punca pendapatan, takut dikeji manusia, atau rasa tidak cukup. Mengingati Allah (zikir) bertindak sebagai "ubat" yang membersihkan hati daripada karat-karat duniawi tersebut.

3. Merasa Ditemani.

Rasa tidak tenang sering datang daripada perasaan "sendirian" dalam menghadapi ujian. Dengan mengingati Allah, seseorang akan merasa sentiasa diperhati dan dipelihara, sekaligus memberikan kekuatan mental yang luar biasa.

4. Perspektif Kehidupan yang Luas.

Zikrullah menyedarkan kita bahawa dunia ini hanya sementara. Kesedaran ini mengecilkan masalah yang kita hadapi; jika masalah itu kecil di mata akhirat, maka hati akan lebih mudah berasa lapang dan damai.

Ketenangan bukan datang daripada keadaan yang sempurna (seperti menunggu sedia untuk berhijab), tetapi ia datang daripada hubungan yang erat dengan Allah. Walau dalam apa pun keadaan kita, mengingati-Nya adalah kunci utama kedamaian jiwa.

Fahamilah bahawa ketenangan datang selepas taat, bukan syarat sebelum taat.

Menunggu ‘tenang dahulu’ boleh jadi perangkap nafsu. Jika semua ketaatan menunggu hati sempurna; maka kita tidak akan solat tepat waktu, kita tidak akan tinggalkan dosa, kita tidak akan berubah sampai bila-bila.

Syaitan, sangat s**a dengan ayat-ayat, seperti:

“Nanti dulu… bila dah bersedia.” Sedangkan Allah berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada keampunan Tuhan kamu.” (Ali ‘Imran: 133)

Berhijab bukan tanda suci, tapi tanda taat. Ramai takut:
“Kalau pakai tudung, kena jadi sempurna.” Itu salah faham.

Hijab bukan lambang kesempurnaan, tetapi pengakuan kelemahan:
“Aku masih berdosa, tapi aku taat pada perintah-Mu.” Yang sempurna bukan yang berhijab, tetapi yang terus kembali kepada Allah walaupun jatuh berkali-kali.

Hati memang tidak tenang sebelum hijrah. Itu fitrah. Setiap perubahan ke arah Allah akan ada kegelisahan, tangisan, rasa keberatan dan seumpamanya. Itu tanda iman sedang bertarung dengan nafsu, bukan tanda hijab itu salah. Sebagai mana orang sakit; ubat pahit dahulu, sembuh kemudian.

Namun, kita juga tidak boleh memaksa dengan kasar. Jika seseorang berkata begitu; jangan hina dan herdik. Tetapi juga jangan menghalalkan penangguhan tanpa batas!

Nasihatkan dia untuk ambil langkah kecil terlebih dahulu, tapi jangan berhenti. Perasaan takut dan tidak tenang itu sifat manusiawi. Menjadikannya alasan untuk menangguh ketaatan adalah berbahaya. Ketenangan bukan tiket untuk taat, ketaatan itulah yang melahirkan ketenangan.

Address

Sungai Buluh

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Serambi UHAA posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Share