06/11/2025
Makanan di Retort, Adakah Ia Selamat Dimakan?
Pernah tak anda nampak makanan dalam bungkusan perak yang keras sedikit, biasanya bertulis “Ready-to-Eat” atau “Makanan Sedia Dimakan”? Ia tak perlu disimpan dalam peti sejuk, hanya perlu dipanaskan dalam air panas atau ketuhar gelombang mikro sebelum dimakan.
Inilah yang kita panggil sebagai makanan retort.
Apa Itu Proses Retort?
Proses retort bukan istilah baru, ia adalah teknik pensterilan haba yang digunakan untuk memanjangkan jangka hayat makanan tanpa perlu bahan pengawet.
Makanan yang telah dimasak akan dimasukkan ke dalam bekas tahan tekanan dan haba tinggi (seperti pouch retort atau tin), kemudian dipanaskan pada suhu sekitar 115°C hingga 121°C dalam masa tertentu bagi membunuh semua mikroorganisma termasuk spora bakteria berbahaya seperti Clostridium botulinum.
Secara mudahnya, proses retort menjadikan makanan “steril secara komersial”, iaitu tiada mikroorganisma yang boleh membiak dalam keadaan penyimpanan biasa.
Adakah Makanan Retort Mengandungi Pengawet?
Kebanyakan produk retort tidak mengandungi bahan pengawet kimia. Ketahanannya bergantung kepada haba tinggi dan pembungkusan kedap udara. Jadi, jangan terkejut kalau produk itu boleh tahan berbulan-bulan, malah bertahun-tahun, walaupun disimpan pada suhu bilik.
Namun, setiap produk masih tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Makanan 1985, di mana pelabelan, ramuan, dan tarikh luput mesti dinyatakan dengan jelas. Ini memastikan pengguna tahu kandungan sebenar makanan tersebut.
Selamatkah Makanan Retort Dimakan?
Jawapannya: Ya, ia selamat, asalkan ia dihasilkan, disimpan dan dikendalikan dengan betul.
Faktor keselamatan makanan retort bergantung kepada:
✅Proses pensterilan yang sempurna. Suhu dan masa mesti dikawal dengan tepat.
✅Integriti bungkusan.... Jika pouch atau tin rosak, bocor atau menggelembung, jangan makan. Ini tanda kemungkinan pencemaran mikroorganisma.
✅Penyimpanan yang sesuai – Walaupun tak perlu peti sejuk, elakkan simpan di tempat panas melampau atau terdedah kepada cahaya matahari.
Kelebihan Makanan Retort
🥫Mudah dan cepat disediakan... sesuai untuk situasi kecemasan, perjalanan jauh atau kegunaan tentera.
🥫Mengekalkan rasa dan nutrisi lebih baik berbanding pengetinan biasa.
🥫Tiada bahan pengawet tambahan.
🥫Jangka hayat panjang walaupun tanpa sejuk beku.
Namun, Jangan Ambil Mudah
Seperti mana-mana makanan lain, pengguna perlu memeriksa keadaan produk sebelum makan.
Jika bungkusan:
❌Kembung,
❌Bocor, atau
❌Mengeluarkan bau pelik selepas dibuka, elakkan daripada memakannya walaupun tarikh luput belum tamat.
Selain itu, pastikan produk yang dibeli mempunyai nama pengilang yang sah, nombor pendaftaran KKM, dan tarikh luput yang jelas.
Kesimpulan
Makanan retort bukan sekadar inovasi moden.... ia adalah hasil sains makanan yang bijak, menggabungkan teknologi, keselamatan dan kemudahan dalam satu bungkusan.
Selagi ia dikilangkan mengikut piawaian keselamatan makanan yang betul, makanan retort adalah selamat, praktikal, dan sesuai dimakan.
Cuma ingat satu perkara: periksa, panaskan, dan nikmati dengan yakin.