28/04/2026
FTKEβRG DAITECH terus menunjukkan komitmen berterusan dalam menyokong agenda pendidikan STEM melalui penyertaan aktif dalam Karnival STEMagic yang telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan Datuk Tambichik Karim pada 25 April 2026.
Program ini dianjurkan oleh Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dengan kerjasama pihak sekolah, sebagai platform bagi memupuk minat dan pendedahan awal murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Kehadiran wakil dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama pelajar telah menyemarakkan lagi penganjuran program ini melalui perkongsian ilmu, pengalaman serta demonstrasi teknologi terkini. Pasukan yang terdiri daripada Dr. Saifuzam, Ts. Dr. Aminurrashid, PM Dr. Ahmad Anas serta seorang pelajar, Hadef Iman (BELR), telah mempamerkan beberapa jenis dron sebagai medium interaktif kepada para pengunjung.
Demonstrasi yang dijalankan bukan sahaja memperkenalkan asas teknologi dron, malah memberi peluang kepada murid-murid memahami aplikasi sebenar teknologi tersebut dalam bidang kejuruteraan dan automasi. Selain itu, aktiviti simulasi penerbangan dron yang disediakan turut menjadi tarikan utama apabila murid-murid dan pengunjung berpeluang mencuba sendiri kawalan dron dalam persekitaran maya yang mencabar.
Pendekatan pembelajaran secara hands-on ini berjaya meningkatkan keterlibatan peserta serta merangsang minat mereka terhadap pembelajaran STEM secara lebih mendalam dan praktikal. Inisiatif seperti ini dilihat amat signifikan dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang celik teknologi, kreatif dan inovatif.